Thursday, 27 October 2011

Karnival Iktiraf Terengganu Meriah


Sumber :-Utusan online 

DUNGUN 24 Okt. – Mohd. Fauzi Mat Adam bersama rakan-rakan menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menjayakan apa yang diamanahkan, sekali gus menjadi ujian terhadap kepimpinan dan kesepakatan anak-anak muda Felda itu.
Mereka mungkin berupaya membuktikan dengan kemeriahan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) Wilayah Terengganu berdasarkan sambutan warga Felda dan masyarakat umumnya terhadap program itu yang berlangsung di ketengah Jaya selama tiga hari baru-baru ini.
Karnival dipenuhi dengan pelbagai kegiatan melibatkan pelbagai peringkat usia dengan penghayatan konsep Iktiraf iaitu ke arah transformasi dalam usaha membangun komuniti Felda secara holistik yang terarah kepada pembinaan generasi baru.
Iktiraf menitikberatkan peningkatan kualiti insaniah melalui program keagamaan, keilmuan, kebajikan, kebudayaan, sukan selain pemerkasaan organisasi setempat dan penyuburan semangat muhibah dalam kalangan pelbagai komponen warga Felda.
Mohd. Fauzi selaku Pengerusi Majlis Belia Felda Terengganu (MBFT) menyifatkan penganjuran Karnival Iktiraf peringkat negeri kali kedua ini sebagai medan latihan kepimpinan bagi MBFT dan 20 persatuan gabungannya.
Beliau gembira kerana karnival peringkat wilayah anjuran MBFT dengan kerjasama Seranta Jabatan Perdana Menteri dan Felda itu dikategorikan antara yang terbaik dari segi penganjuran dan pengisiannya.
‘‘Setiap wilayah menganjurkan karnival serupa dan dijadikan satu kegiatan tradisi tahunan yang berusaha menyatukan 700,000 anggota masyarakat di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara di samping generasi baru Felda di luar rancangan’' ujarnya.
Katanya, Karnival Iktiraf turut didokong dan disokong oleh pimpinan masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pusat pengajian tinggi.
Mohd. Fauzi memberitahu, karnival ini menghimpunkan warga Felda seluruh negeri ini terutama generasi kedua dalam program mengiktiraf peranan dan mengukuhkan jalinan hubungan mereka.
Karnival yang dirasmikan oleh Pengarah Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru Felda, Faizoull Ahmad di padang awam Bandar Ketengah Jaya dimulakan dengan Program Jelajah Iktiraf.
Dibahagikan kepada tiga kumpulan yang terdiri daripada wakil pengurusan Felda, kepimpinan Majlis Belia Felda kebangsaan, negeri dan belia setempat, mereka menziarahi golongan tidak bernasib baik yang telah dikenal pasti.
Mereka menjelajah di sekitar penempatan Kertih Satu hingga Kertih 6 untuk meninjau kehidupan mereka yang kurang upaya dan menyampaikan sumbangan di samping meneliti aspek bantuan susulan.
Di samping itu, seramai 40 orang mahasiswa anak warga Felda dari seluruh negara yang menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Terengganu ditempatkan bersama keluarga angkat untuk bersama menyelami suasana kehidupan setempat.
‘‘Di tapak karnival, turut dibuka 40 gerai jualan dan pameran keusahawanan, kerjaya, pendidikan serta peranan agensi kerajaan manakala sukaneka Kemas pula berlangsung,” ujarnya.
Pada sebelah malamnya, majlis tahlil, bacaan yasin dan solat hajat diadakan di masjid bersama para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam serta keluarga mereka, disusuli dengan forum perdana bertajuk Syukur dan Nikmat.
MBFT mengatur Kem Iktiraf Generasi Cemerlang yang berbentuk program motivasi kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada hari kedua di samping pertandingan bola sepak tujuh sebelah, pertandingan suara azan, gubahan dan kugiran.
Pada hari ketiga pula diadakan pertandingan futsal dan bola jaring di samping Explore Race, Bakat Felda Idol serta acara sukan kategori persatuan.
Turut diadakan penyampaian anugerah persatuan belia terbaik dan tokoh belia cemerlang kepada Persatuan Belia Felda Kertih 1 dan Mohd Khairi Yaacob yang disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan pada majlis penutup.
‘‘Mereka yang telah banyak menabur bakti secara sukarela kepada masyarakat diberikan penghargaan sebagai satu pengiktirafan dan rangsangan kepada yang lain,” katanya.
Rosli merumuskan, karnival ini sebahagian usaha ‘menyatukan hati’ warga Felda agar terus ikhlas mempertahan dan memartabatkan institusi warisan ini demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.


Tahniah diucapkan kepada semua warga MBFM wilayah Terengganu kerana dapat meriahkan karnival iktiraf dengan jayanya....Semoga dengan kejayaan anda dapat memberi inspirasi kepada MBFJ untuk menjayakan Karnival Iktiraf Wilayah Jengka tidak lama lagi..Insyallah.


No comments:

Post a Comment