Wednesday, 26 October 2011

BAPAK Bantu 13 Peneroka

Gambar :- Website Bapak
Sumber :- Pahangku


Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) berjaya membantu 13 peneroka Felda Tersang 1 mendapatkan pinjaman skim membesarkan rumah baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, dengan kelulusan itu penantian para peneroka berkenaan untuk mendiami rumah yang lebih selesa akhirnya tercapai.

Katanya, masalah itu juga antara 3,314 aduan yang dibangkitkan warga Felda kepada Bapak setelah 11 bulan biro itu dilancarkan.

“Aduan telah dikemukakan peneroka terbabit kepada Bapak pada 4 April lalu dan kes mereka telah disalurkan kepada pihak yang berkenaan untuk pertimbangan lanjut.

“Setelah melalui beberapa proses akhirnya 13 pengadu yang juga peneroka Felda Tersang 1 berjaya mendapat kelulusan pinjaman membesarkan rumah daripada Felda setelah agak lama mengemukakan permohonan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sehubungan itu, GWGF berharap agar semua warga Felda menggunakan kewujudan Bapak sebaik mungkin kerana aduan dan masalah mereka pasti dapat diselesaikan jika ia disalurkan kepada pihak yang berkenaan.

Salah seorang daripada pengadu tersebut, Omar Othman amat berterima kasih kepada GWGF, Felda dan Bapak kerana membantunya mendapatkan pinjaman itu.

“Bagi saya Bapak merupakan saluran yang baik untuk warga peneroka menyampaikan aduan berbanding beberapa saluran aduan lain dan saya menyeru kepada rakan-rakan peneroka yang lain kalau ada masalah, minta tolong dengan Bapak,” katanya.

No comments:

Post a Comment